Bismillahirrohmanirrohim,,,,,
Biarpun catatan sulung ini baru mula bertatih, namun perjalanan ini sudah sekian lama mendahului. Semakin kita melangkah, semakin kita mengenal erti sebuah kehidupan. Benarkah? Sejenak memikirkan kalam suci Tuhan dari surah Al-Baqarah:
" Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, " Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, " Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?" Dia berfirman, " Sungguh, Aku Mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (2:30)
Hati ini mula tertunduk malu pada Sang Pencipta, begitu besar amanah yang dipikul sebagai utusanNya di bumi ini. Namun, berapa banyakkah di antara kita yang benar-benar bertanggungjawab atas amanah Tuhan ini? Kita gemar bermain dengan rencah kehidupan, bersama menari-nari riang seiring dengan dunia globalisasi, dunia tanpa sempadan. Sempadan sebagai seorang khalifah mulai tidak berjurang, tapi, siapa kisah? Asalkan kita menjadi bangsa yang bermaruah dengan terus-terusan mengagungkan kehebatan Barat, biarlah agama tergadai kerana kita tetap mampu berdiri di bumi Sang Pencipta tanpa bayaran. Tanpa rasa malu, kita mengakui, " Aku Islam, ibu bapaku Islam, keluargaku Islam... Aku bersyukur dilahirkan sebagai Islam... Tapi, apa yang ku lakukan untuk Islam???" Tepuk dada, tanya iman. Di mana letaknya Islam kita?
Islam bermula asing dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya.. Berbahagialah bagi golongan ghuraba iaitu orang-orang yang membaiki kerosakan yang dilakukan tangan-tangan manusia..
.... Bismillahirrohmanirrohim ....
" Katakanlah, jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, keluarga kamu, harta yang kamu usahakan dan perdagangan yang kamu khuatirkan serta tempat tinggal yang kamu suka itu lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan jihad di jalanNya, maka tunggulah sampai datang keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kamu yang fasik." (At-Taubah:24)
No comments:
Post a Comment