.... Bismillahirrohmanirrohim ....

" Katakanlah, jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, keluarga kamu, harta yang kamu usahakan dan perdagangan yang kamu khuatirkan serta tempat tinggal yang kamu suka itu lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan jihad di jalanNya, maka tunggulah sampai datang keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kamu yang fasik." (At-Taubah:24)

Sunday, December 26, 2010

Ukhti.......


(Khas untuk Ahli Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia, Sempena PATWA 2010)


Ukhti

Hari ini aku berdiri

Menggenggam bara api

Di hadapanmu ya ukhti

Disaksikan Ilahi Rabbi


Ukhti

Engkau dan aku sama berdiri

Menjunjung titah Ilahi

Memimpin umat ke jalan selamat

Jalan Islam yang penuh rahmat

Beribadat kepada Allah jadi matlamat

Mentaati perintah-Nya, menjauhi maksiat


Ukhti

Engkau dan aku sama berdiri

Menjulang kitab suci

Ayat-ayatnya difahami dan di hayati

Menegakkan Syari’ah di dalam diri

Kelak kan berdaulat di persada bumi


Ukhti

Engkau dan aku sama berdiri

Mendakap Sunnah Nabi

Mengangkat wanita setaraf lelaki

Nyawa, harta dan maruah dilindungi

Keluarga diperkasa, masyarakat disantuni


Ukhti

Hari ini kita sama berdiri

Mengikat satu janji

Memantapkan saf

Memimpin ummah

Mendaulatkan Syari’ah


Ukhtuki fillah

~Kak Maznah~

13 Muharram 1432
19 December 2010 

Wednesday, December 22, 2010

Mengapa?? Kenapa?? Bagaimana?? Apakah??

Kenapa kita sering melihat sesuatu yang tidak pada milikan kita sebagai yang terbaik dan beriya-iya mahukan sesuatu yang tidak seharusnya menjadi milik kita, tanpa merenungi sebenarnya kita harus mensyukuri tiap apa yang kita perolehi kerana ianya pasti lebih baik dalam perancanganNYA?

Rata-rata daripada kita juga sering kali memikirkan tentang perasaan kita sebagai anak yang terguris dengan ibu bapa, terasa dengan tindakan ibu bapa, tak sehaluan dengan tindakan ibu bapa dan pelbagai lagi yang tidak kena dengan ibu bapa kita.. Namun, pernahkah walau sekali kita memikirkan hati ibu bapa kita yang terguris? Pernahkah kita si anak yang memikirkan jiwa dan kesulitan yang ditanggungi ibu bapa kita saat mereka membesarkan kita? Cukupkah untuk membalas jasa mereka dengan hanya menghadiahkan mereka dengan segulung ijazah, master, atau phd? Di manakah tempat ibu bapa pada kehidupan kita?

Acap kali juga ada yang membandingkan ibu bapa orang lain dengan ibu bapa sendiri.. Cemburu dengan kekayaan yang dimiliki orang lain, ada juga yang cemburu dengan kemesraan orang lain, ada bermacam-macam rencah yang tidak sebati pada jiwa kita.. Namun, apakah usaha kita untuk menyempurnakan semua itu? Belum cukupkah kekayaan pada sebuah kehidupan yang telah Allah jadikan sempurna untuk kehidupan kita? Belum selesakah keindahan yang Allah kurniakan untuk perjalanan kasih sayangNYA untuk kita? Belum istimewakah kita menjadi insan berbanding penciptaan makhluk lain? Apakah lagi kesempurnaan yang kita mahukan?

Sebagai pelajar, apakah yang kita kejarkan dan untuk apakah ianya kita mahukan? Sebagai penjawat, apakah yang kita kerjakan dan untuk apakah segalanya yang berlaku dalam perjalanan menuju Allah? Apakah hanya sekadar rutin, minat mahupun kerjaya untuk mencari rezeki? Seandainya saat kita berniat untuk menggenggam ijazah untuk kepuasan hidup dan memberi kesenangan buat kedua ibu bapa kita, bagaimana seandainya belum sempat kita memperoleh ijazah tersebut, Allah menjemput kita terlebih dahulu menemuiNYA? Maka pastinya kita tidak sempat untuk memberikan ijazah tersebut buat ibu bapa kita? Bagaimana jika niatnya adalah menerokai ilmu Allah dan semua yang dilakukan kerana Allah walau dalam apa jua keadaan, jika ianya belum sempat dihabiskan mahupun dicapai, segalanya bertukar mencari keredhaan Allah semata-matakan? Tidakkah ianya cukup manis lagi membahagiakan?

Jadi, di mana kita? Bagaimanakah kita? Siapakah kita? Tepuk iman, renungi Taqwa:)

Friday, November 26, 2010

Ini Sejarah Kita...




Fahamkah anda akan graf di tersebut? Graf tersebut adalah berkenaan dengan tempoh masa dari penyebaran Islam di Tanah Arab sehinggalah pada masa kini. Cuba anda lihat, di manakah tahap kita berada sekarang? Di manakah zaman yang sedang kita berbahagia berada? Ya Allah… terlalu sukar untuk kita bayangkan. Adakah zaman kita sekarang setaraf dengan zaman Jahiliyah dahulu kala? Wallahualam. Kepada mereka yang belum memahami setiap butiran yang berada pada graf tersebut bolehlah membaca sedikit penerangan di bawah ini.

Sebelum kedatangan Islam di Tanah Arab, era ini dinamakan sebagai zaman gelap masyarakat Arab. Masyarakat ini asalnya mengikut ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. tetapi telah terpesong kepada penyembahan berhala dan nenek moyang. Mereka mempunyai semangat assobiyah yang sangat tinggi dan ketika ini sangat berleluasa berlakunya perlakuan zina, judi, pembunuhan anak perempuan dan juga penindasan terhadapan golongan miskin dan anak yatim.

Selepas penurunan wahyu pertama, era ini kemudian dinamakan sebagai era Mekah. Era ini berlansung selama 13 tahun (610 – 623M). Selama berlangsungnya era ini, Rasulullah s.a.w. beserta para sahabat terbabit dalam pendakwahan di mana ianya bermula dengan mereka yang terdekat dan dipercayai serta seterusnya kepada seruan terbuka. Dakwah Islamiyyah ini tetap diteruskan walaupun mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi seperti penentangan oleh kaum Quraisy dan juga Bani Tha’if. Selama 13 tahun baginda s.a.w. melakukan dakwah, hanya 300 orang sahaja yang menerima Islam (anggaran).

Dengan perintah Allah, Rasulullah s.aw. berhijrah ke Madinah. Kaum muslimin terpaksa meninggalkan kampung halaman, harta dan ladang-ladang mereka. Negara Islam Madinah telah dibina dengan mengangkat Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin. Era ini berlangsung selama 10 tahun (623 – 633M). Dengan adanya kuasa, pelbagai syariat telah diturunkan dan dilaksanakan dalam sistem negara. Manusia dapat melihat Islam daripada sudut aqidah, sosial, ekonomi dan perundangan. Dalam suasana ini, Allah s.w.t. telah mensyariatkan pelbagai hukum kepada ummat Islam. Setelah 10 tahun di Madinah, seramai 124 000 orang (atau 144 000 orang) telah menerima Islam (dianggar berdasarkan Haji Wada’ pada tahun 10 Hijrah).

Era Khulafa’ Ar- Rashidin bermula pada 633 sehingga 661 masihi sejurus selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Ianya bermula dengan pemerintahan Abu Bakar As-Siddiq, diikuti Umar Al-Khattab, Uthman Al-Affan dan Ali Abi Talib. Sepanjang era Khulafa’ Ar-Rashidin, berlaku pengukuhan dan perluasan Daulah Islamiyyah.

Era umayyah pula bermula pada 661 hingga 750 masihi. Khalifah pertama adalah Muawwiyah bin Abi Sufyan menandakan di mana bermulanya era pemerintahan berbentuk dinasti. Kerajaan Bani Umayyah berpusat di Damsyik, Syam dan antara tokoh pemerintah yang terkenal dalam era ini adalah Umar bin Abdul Aziz. Dalam era ini, berlaku perluasan kuasa Islam secara besar-besaran.

Era Abasiyyah pula bermula pada 750 hingga 1265 masihi. Dibahagikan kepada 2 zaman iaitu Zaman Keemasan dan Zaman Kejatuhan. Kerajaan Abassiyyah diasaskan oleh Abu Al-Abbas Abdulllah dan berpusat di Kota Baghdad (Iraq). Zaman keemasan kerajaan Abassiyyah berlangsung ketika pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rasyid yang menandatangani perjanjian dengan Empayar Tang China dan Khalifah Al-Makmun yang terkenal dengan perkembangan ilmu dan teknologi. Ketika era ini, pelbagai tokoh Islam yang dikagumi seperti Ibn Battutah dan Ibnu Nadhir yang terlibat secara tidak langsung dalam Baitul Hikmah, tokoh-tokoh ilmu fiqh seperti Imam Syafie dan Imam Malik serta tokoh-tokoh ilmu hadis seperti Imam Bukhari dan Imam Muslim. Tatkala Kerajaan Abbasiyyah berada di kemuncak kegemilangan, serangan monggol berlaku pada 656 Hijrah (1258 M).

Dengan kejatuhan era Abasiyyah, Kerajaan Turki Uthmaniyah mulai naik. Kerajaan ini diasaskan oleh ‘Uthman Gazi. Kerajaan ini bermula pada 1265 hingga 1924 M dan pernah menguasai sehingga Austria, Hungary, Romania, Bulgaria, Czech, Yugoslavia dan Albania. Antara pemerintah yang terkenal adalah Sultan Muhammad II Al-Fateh di mana beliau berjaya membuka Kota Constantinople pada 857 H (1453 M). Beliau juga menguasai Selatan Greek, Albania dan Ukraine. Beliau mengarahkan misi ke Rom dan tentera Islam berjaya menawan Otranto. Tetapi misi ini terbantut dengan kematiannya pada 886 H (1481 M).

Era kejatuhan khalifah berlaku sejurus Kekalahan kerajaan Uthmaniyyah dalam peperangan Perang Dunia I. Sultan Abdul Hamid II17 (1876 – 1909 M) merupakan sultan kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah yang terakhir yang betul-betul mengamalkan sistem khilafah. Kejatuhan ini dibantu oleh kemunculan Mustafa Kamal Attartuk, seorang jeneral tentera, yang ditonjolkan oleh British sebagai tokoh kepimpinan yang hebat. Selepas itu, Umat Islam kehilangan sistem khilafah yang menaungi umat Islam secara global dan segala usaha untuk menghidupkan kembali pemerintahan khilafah belum mendatangkan hasil.

Amat malang sekali, kejatuhan ini tidak begitu diketahui oleh umat Islam secara umum. Kenapa ini boleh berlaku? Tanah umat Islam di timur tengah dipecah-pecah mengikut citarasa penjajah. Wilayah Islam dipecah-pecahkan mengikut geografi. dan mengikut kawasan seperti Palestin, Mesir, Algeria, Maghribi, Tunisia, Syria dan negara-negara Islam yang lain. Dengan wujudnya wilayah-wilayah yang berasingan ini menjadikan setiap negara hanya mempertahankan negara sendiri sahaja tanpa mempedulikan negara Islam lain yang diserang. Tidak hairanlah ketika Palestin diserang, apakah yang dilakukan oleh negara-negara Islam yang lain? Wallahualam

Thursday, November 25, 2010

Gambaran Kegemilangan Islam : Armada Cheng Ho

Armada Pelayaran Cheng Ho


Gambaran anak-anak kapal yang dikendalikan oleh Cheng Ho









Laksamana Cheng Ho








Laluan Pelayaran Cheng Ho


Pernahkah kita mengikuti tentang pelayaran agung Cheng Ho ke Melaka? Secara peribadinya, selama saya mempelajari sejarah di sekolah menengah, jauh di benak tidak pernah teruja untuk mengetahui berkenaan Laksamana Cheng Ho memandangkan yang diketahui adalah beliau hanya melakukan pelayaran 'biasa'. Namun hakikat yang sebenar, pelayaran beliau bukanlah sekadar pelayaran dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata, bahkan ianya lebih bermakna dari itu. Jika difikirkan secara logik akal juga, apakah sebuah pelayaran yang melibatkan
pelayar yang berkuantiti besar dan menggunakan kapal yang besar tidak mempunyai matlamat dan kepentingan tertentu?

Jika dihayati, pada musim luruh 600 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1405 Masihi, sebuah armada yang paling besar skopnya di dunia pada masa itu bertolak dari pelabuhan Sungai Yangtze di luar Bandar Nanjing, ibu negara kerajaan Dinasti Ming bagi belayar ke seberang laut. Laksamana Cheng Ho adalah orang yang bertindak memimpin pelayaran secara besar-besaran tersebut.

Nama asal Cheng Ho ialah Ma Sanbao. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga Etnik Hui yang menganut agama Islam di Yunnan, barat daya China. Datuk dan bapanya telah menunaikan fardu haji di Mekah. Mereka mengetahui keadaan di luar negara kerana suka menjelajah.

Bandar Nanjing terletak di pinggir Sungai Yangtze, sungai yang terbesar di China. Industri pengeluaran kapal sudah bersejarah lama dan sangat berkembang di Nanjing pada masa itu. Berdasarkan catatan sejarah, terdapat 34 buah bengkel pembuat kapal di luar Bandar Nanjing dan tukang-tukang kapal yang terbaik di seluruh China telah bertumpu di Nanjing. Taraf kemahiran pembuatan kapal daripada tukang-tukang tersebut merupakan taraf tertinggi bagi industri pembuatan kapal di dunia pada masa itu. Kapal "Baochuan" yang digunakan dalam pelayaran Cheng Ho ialah dibuat di Nanjing. Kapal "Baochuan" merupakan kapal layar bersaiz besar. Disebabkan pelayaran itu dilaksanakan berdasarkan titah Maharaja Zhu Di, maka kapal-kapal tersebut bukan sahaja ukurannya besar, tetapi juga diperlengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang moden. Pada tahun 1957, sebuah batang kemudi sepanjang 11.7 meter daripada kapal "Baochuan" telah digali keluar daripada perut bumi di tapak bengkel pembuat kapal "Baochuan" di Nanjing. Kalau dikira berdasarkan panjang batang kemudi tersebut, maka kapal "Baochuan" armada Cheng Ho yang paling besar telah mencatat lebih seribu tan, ini merupakan kapal yang paling besar di dunia pada masa itu!

Armada Cheng Ho terdiri daripada beberapa puluh kapal yang berbeza-beza saiznya. Jumlah keseluruhan pegawai, pedagang dan anak kapal armada Cheng Ho mencatat lebih 20 ribu orang. Sutera, barang porselin dan barang seni kraf tangan lain dimuatkan di dalam kapal-kapal tersebut. Semasa armada itu berlabuh di setiap pelabuhan luar negara, Laksamana Cheng Ho akan menganugerahkan cap mohor yang diperbuat daripada perak dan menghadiahkan cenderamata kepada raja negara-negara yang dilawati. Laksamana Cheng Ho juga menyampaikan titah Maharaja Zhu Di Dinasti Ming China yang menggalakkan negara-negara tersebut menghantar utusan melawat China agar meningkatkan pertukaran antara satu sama lain. 7 kali pelayaran seumpama itu telah dilaksanakan oleh Laksamana Cheng Ho dalam tempoh 28 tahun. Pada tahun 1435, Laksamana Cheng Ho yang berusia lebih 60 tahun meninggal dunia di India dalam pelayaran ke-7 semasa kembali ke China.Armada Cheng Ho berjaya tiba di pantai Laut Merah dan pantai timur Afrika dan telah melawat lebih 30 buah negara dan kawasan di Asia dan Afrika dalam 7 kali pelayaran itu. Pelayaran Laksamana Cheng Ho ke negara-negara Asia dan Afrika itu telah meluaskan pandangan rakyat China dan meningkatkan pengetahuan geografi rakyat China. Pelayaran itu juga telah meningkatkan petukaran, persefahaman dan perdagangan antara rakyat China dengan rakyat pelbagai negara Asia dan Afrika. Pelayaran Laksamana Cheng Ho lebih awal separuh abad daripada Christopher Columbus, pelayar yang terkenal di dunia.

Pelayaran Cheng Ho ke seberang laut juga telah meninggalkan warisan kebudayaan dan kesenian kepada kita. Sekarang banyak sasterawan telah menggubah drama, novel, drama TV dan lain-lain untuk menggambarkan pelayaran Laksamana Cheng Ho secara besar-besaran pada masa itu, memuji sumbangan yang dibuat oleh Laksamana Cheng Ho kepada kegiatan pelayaran sedunia serta sumbangannya kepada persahabatan dan pertukaran antara China dan pelbagai negara di dunia.

Jika direnungi pada sejarah silam mengenai Laksamana Cheng Ho, sudah pastinya ia merupakan sebuah perjuangan yang sangat hebat dalam menyebarkan Islam. Namun, mengapa kebanyakan kisah berkenaan Laksamana Cheng Ho hanya menyebut berkenaan pelayaran beliau adalah dalam usaha berdagang ke negara asing dan membuat hubungan diplomatik dengan negara tersebut? Kisah beliau hanya banyak berlegar-legar dengan kisah sebegitu, tanpa sesuatu yang istimewa yang harus kita banggakan.

Walaubagaimanapun, utamanya harus kita renungi keistimewaan sebenar yang tersembunyi mengenai Laksamana Cheng Ho antaranya keperibadian beliau, kehebatannya memimpin armada yang agung, keIslaman beliau, gerak kerja dakwah beliau, toleransi dan ketegasan beliau dalam hubungan dengan penganut lain, sumbangan besar beliau pada agama Islam, dan yang lain-lain sangat kurang ditonjolkan. Namun demikian, jika diteliti dalam kebanyakan buku-buku sejarah, ada pihak yang beranggapan bahawa Cheng Ho bukan beragama Islam, tetapi beliau menganuti agama Buddha. Buktinya terdapat banyak patung-patung Cheng Ho dibina di tokong-tokong sebagai tugu peringatan di Jawa, Indonesia bahkan terdapat juga di Malaysia dan Brunei.

Setelah saya mengunjugi Expo Cheng Ho dengan usahasama Kerajaan Negeri Kelantan dan negara China, saya amat terkesima dan teruja dengan sejarah berkaitan Cheng Ho terutamanya apabila mengetahui berkenaan armada yang dikemudinya. Persiapan perdagangan dan pelayaran yang dilakukan oleh Cheng Ho dan tentera - tentera di bawah pimpinannya cukup strategik dan bersistematik.

Angka sebenar yang mengikuti pelayaran tersebut hampir 28,000 orang, bukanlah 2,800 orang seperti yang dipelajari sebelum ini! Mashallah! Patutlah ianya digelar PELAYARAN AGUNG! Cukup mengujakan! Namun, bagaimana Laksamana Cheng Ho mampu mengawal armada dalam kuantiti seramai itu dengan melalui pelayaran yang sangat jauh, bahkan di tengah-tengah lautan yang bermusim? Subhanallah!

Laksamana Cheng Ho telah membahagikan armadanya kepada empat bahagian utama yang mempunyai peranan masing-masing dalam usaha memastikan kejayaan setiap misi pelayaran tersebut. Malahan beliau jugalah yang menjadi ketua komando bagi komando-komando armadanya yang merupakan bahagian yang paling ramai dalam armada tersebut. Malahan, beliau turut menggunakan kaedah ilmu Falaq sebagai petunjuk arah laluan pelayaran beliau.

Selain berbekalkan dengan 28,000 orang awak-awak kapal, kapal tersebut dipenuhi dengan barang-barang dagangan seperti sutera, wangi-wangian, rempah dan sebagainya yang berkapasiti lebih dari 2500 tan muatan. Kapal-kapal yang dipimpin oleh Cheng Ho bukanlah satu atau dua buah, bahkan ratusan buah kapal!!. Antaranya 62 buah kapal besar, diiringi dengan lebih kurang 200 buah kapal kecil yang berfungsi sebagai kapal komando, kapal kuda, kapal tempur dan sebagainya. Ukuran bagi sebuah kapal besar Cheng Ho adalah berukuran sekitar 122 meter panjang dan 52 meter lebar menjadikan ia kapal yang terbesar di dunia pada ketika itu. Bayangkan selama 7 kali pelayaran yang dilakukan oleh Cheng Ho sepanjang 28 tahun, berlayar sejauh beribu batu ke negara seperti Afrika, Ormuz, Asia Tenggara, Jawa, Melaka dan lain -lain berbekalkan dengan kekuatan armada yang tidak dapat ditandingi sesiapa walaupun selepas 100 tahun Cheng Ho meninggal dunia.

Bagi saya, pelayaran agung Cheng Ho yang membawa 'misi damai dan dagang' ini tidak mampu ditandingi tokoh pelayaran lain seperti Vasco Da Gama, Christoper Colombus, Marco Polo dan Ferdinand Magellan. Kebanyakkan mereka melakukan pelayaran sekitar 50 - 100 tahun selepas Cheng Ho bahkan masih tidak mampu untuk menandingi kekuatan armada laut yang pernah dipimpin oleh Cheng Ho. Allahuakbar!

"Bilakah sejarah ini akan kembali berulang??"

Thursday, November 18, 2010

Muhasabah Diri : 5 Perkara Sebelum Datang 5 Perkara...

.....KAU & AKU ANTARA 2 JARI....

Tirai cuti semester sudah menampakkan sinar riang.. Namun, apakah pengisian untuk cuti kali ini yang 'merehatkan' kita hampir 2 bulan ini.. Dalam pada mengatur pelbagai aktiviti untuk cuti ini, tiba-tiba terbaca akan hadith ini yang berbunyi:

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain, yaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sehat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum masa miskinmu, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian.” (Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi dari Amru bin Maimun r.a.)

Terduduk seketika merenung kembali perancangan-perancangan yang dibuat.. Cuba mengaitkan dengan hadith di atas.. Terfikir juga, sejauhmana perancangan yang cuba aku aturkan selama cuti kali ini akan menjadi bekal amal ku di akhirat kelak.. Bagaimana pula setiap amal itu ku jagai agar terus konsisten terutama pada saat aku sedang berhibur dan bergembira?

Benarlah! Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara yang lain. Usah kita terlena, terutama pada saat kita muda, sihat, kaya, lapang, dan pada saat kita masih hidup. Terus kuatkan diri, terus perbaiki diri, untuk memastikan kita menjadi individu 'yang lebih baik hari ini dari kelmarin dan esok harus lebih baik dari hari ini'.

Namun, sistem apakah mampu kita aturkan untuk membantu tindakan kita dalam merangka segala aktiviti supaya kita konsisten dan istiqamah? Sistem ini mungkin berupa tugas-tugas rutin yang perlu kita kerjakan, hal-hal yang harus terus kita baca dan fahami, ataupun adanya sahabat-sahabat yang dapat terus saling mengingatkan antara satu sama lain. Berbicara soal sahabat-sahabat, hakikatnya, adalah amat penting seseorang teman, sahabat mahupun saudara yang saling mengingatkan iaitu sentiasa dapat mengingatkan kita dalam kebenaran dan kesabaran.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (Al-Asr:1)

Secara zahirnya, hadith Rasulullah saw berkenaan peringatan mengenai "lima perkara sebelum lima perkara" itu maksudnya adalah supaya kita mempergunakan waktu dan kesempatan dengan sebaik-baiknya, sebelum hilangnya kesempatan tersebut. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Hakim.

Lima perkara tersebut adalah sebagai berikut:
  1. "Pergunakan masa mudamu sebelum datang masa tuamu". Masa muda hendaklah dipergunakan sebaik-baiknya untuk mencapai kebaikan, dan keberhasilan yang jitu, kerana masa mudalah kita mempunyai keupayaan, keinginan dan cita-cita yang ingin kita raih. Namun, ianya bukan bererti masa tua akan menghalang kita untuk tetap berusaha mencapai keinginan kita, tapi tentulah usaha masa tua akan berbeza halnya dengan usaha saat kita masih muda. Maka dari itu masa muda hendaklah diisi dengan berbagai kegiatan yang bermanfaat hingga tidak mendatangkan penyesalan di kemudian hari.

  2. "Pergunakan masa luangmu sebelum datang masa sibukmu". Di sini kita dianjurkan untuk menghargai waktu, agar ianya dapat diisi dengan hal-hal yang bermanfaaat, baik untuk diri sendiri mahupun orang lain. Misalnya, menziarahi saudara ketika ada kesempatan sebelum kesibukan menghampiri kita, hingga tidak sempat lagi untuk mengunjungi kerabat.

  3. "Pergunakan waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu". Hal ini juga anjuran agar kita sentiasa berwaspada pada segala kemungkinan yang sifatnya di luar jangkauan manusia, seperti sakit. Sakit di sini bukan sebatas sakit jasmani sahaja, tapi juga sakit rohani. Maka ketika kita sihat jasmani-rohani, hendaknya kita sentiasa mempergunakannya untuk hal-hal yang bermanfaat tanpa mengsia-siakan waktu yang ada.

  4. "Pergunakanlah waktu kayamu sebelum datang waktu miskinmu". Ketika kekayaan ada pada kita, samadase berupa material atau selain daripadanya, maka hendaknya kita memanfaatkannya sebaik-baiknya, jangan menghambur-hamburkannya tanpa tujuan kerana setiap sen amanah harta yang kita pinjamkan dari Al-Khaliq akan disoal kelak.

  5. "Pergunakan hidupmu sebelum datang matimu". Yang terakhir ini merupakan kesempurnaan dari empat hal di atas. Ketika kita diberi kehidupan maka hidup yang diberikan pada kita itu sebenarnya merupakan kesempatan yang hanya datang sekali sahaja.. Kehidupan harus dijalani sesuai tuntutan kemaslahatannya.

Lima hal itu merupakan intipati misi dan visi kehidupan seseorang manusia kerana kunci kesempurnaan hidup itu terletak pada bagaimana kita "mempergunakan kesempatan dengan sebaik-baiknya". Mempergunakan kesempatan adalah merupakan bentuk pasrah pada upaya & usaha, bukan pada hasil kerana Allah menilai kepada USAHA, bukan hasil yang diutamakan. Prinsip pasrah pada upaya & usaha akan membentuk jiwa yang teguh, mantap, kuat, dan tidak mudah putus asa. Bila suatu saat upaya kita belum menghasilkan target yang kita harapkan, maka kita tidak lantas putus asa, kerana kewajipan kita adalah berusaha. Berusaha dan berusaha.

Suka aku tinggalkan bait-bait ini, agar mampu diselitkan bersama renungan amal yang subur, tanpa hanya sekilas pandangan berkhilaf yang hanya membiarkan sahaja serpihan waktu hidup kita sebagai hamba-hamba Allah yang rugi... Na'uzubillah...

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan,
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan

Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah
luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru ku menyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat

Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara

Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak
bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patok itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat

Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna Harta, tahta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia.

Monday, November 15, 2010

"Umpama air kotor di dalam gelas"


خير الناس أنفعهم للناس
"Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia. "




"Seandainya diletakkan matahari di sebelah tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku..pasti aku tidak akan meninggalkannya melainkan aku menang dengannya, atau aku mati kerananya"


Dalam damai keheningan dinihari yang permai, aku termenung jauh dengan sedaya upaya cuba menghalusi perasaan ini.. mencari dan mendalami.. Mencari lokus kekuatan seorang mukminah yang berlari di pentas dunia dengan menggenggam risalah suci.. Berlari dengan kukuh tanpa kenal putus asa walaupun dikelilingi kemungkaran tanpa henti.. Berlari dengan pantas tanpa cuba berhenti di tengah kefasikan manusia.. Kasih dicurah tanpa mengenal jemu biarpun diherdik permusafiran fitnah santapan atas segala kebaikannya.. Sejenak berlalu, tiba-tiba terketuk pintu hatiku, kuasa apakah yang mampu mengukuhkan imannya? Apakah kekuatan yang menjadikan dia sentiasa merasai taqwa dan roh semangat kejiwaan seorang pejuang dalam santunan sifat kewanitaannya.. Apakah pula keajaiban yang terus menjadikannya untuk terus melangkah tanpa sekilas pandangan kepada kemunduran?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka....dan siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar" (At-Taubah:111)


Subhanallah! hatiku terkadang hiba.. Acap kali aku menangis melihat pergorbanan para-para dai'e ini..amat mulia peribadi mereka dengan menjalankan dakwah..mereka bertungkus lumus menjual diri dan hartanya hanya kerana Allah dan agamaNya dan menjadikan segala-galanya hanya untuk dakwah..mengorbankan segala yang indah di sisinya untuk menaikkan agama Islam..Siapakah yang lebih mulia dari mereka yang menyeru kepada Allah ? Subhanallah!

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" (Al-Fushsilat:33)"

Namun, bagiku tiada yang mampu aku nafikan apabila segala itu kulihat dari satu sudut kekuatan luar biasa yang dihadirkan sahabatku ini.. Sebuah kekuatan yang menjadi sumber untuk kita terus berjalan dan terus berlari di arena dakwah walau di medan yang penuh kemungkaran.. Kekuatan dan rahsia apakah itu? Inilah sebenarnya yang disebut sebagai tarbiyyah dzatiyyah.. Subhanallah! Inilah kunci kita mentarbiyyah diri...bukankah itu sesuatu yang luar biasa?? Tidakkah tarbiyyah itu memerlukan platform manusia sebagai penyampai ? Tidakkah tarbiyyah itu dihadirkan dengan manusia yang saling bergantungan? Namun, hakikatnya, inilah juga method tarbiyyah yang cukup hebat dan sukar dilalui.. Persoalan yang harus dimukimkan dalam diri kita, mengapa kita mengejar larian berdakwah dan mentarbiyyah insan lain sedangkan diri sendiri pada dasarnya turut jauh dari Allah? Mengapa perlu bersusah payah bangkit mengharungi jalan dakwah, sedangkan diri sendiri dilupakan?

" Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir? " (Al-Baqarah:44)

Ayuh bersama telusuri dan singkapkan pengajaran untuk kita menjengah kebaikan buat dibajai dalam suburan iman kita. Jika direnungi dan difahami, kekuatan tarbiyyah dzatiyyah ini sebenarnya dapat menjadikan seorang dai'e itu mampu bertahan walaupun berada di medan dakwah yang kemungkarannya berleluasa, bi'ah yang cukup menekan iman, malahan ketika ketiadaan halaqah atau usrah sebagai bekalan lain mentarbiyyah diri.. Malahan, inilah seharusnya perlu ada dalam diri dai'e ketika kekosongan, kesepian dan kekurangan kerja dakwah. Namun begitu, bagaimana untuk membentuk tarbiyyah dzatiyyah ini?

Sepanjang perjalanan menaiki bas dari Penang ke kampung halamanku, Kelantan, kata-kata seorang sahabat yang sempat ku curi bait-baitnya semasa perbualan telefon bersamanya sebentar itu terus terngiang-ngiang di cuping telinga yang simfoninya turut galak menari di ruang mindaku. Soalnya, "bagaimana mahu membersihkan air kotor di dalam gelas"?? Persoalan yang cukup membuat aku rasa terketuk sendirian..

Biasanya, rata-rata daripada kita sering mengeluh apabila teguran mahupun nasihat berulang-ulang kali dibajai kepada orang lain, namun ianya seakan-akan mencurah air ke daun keladi. Namun, mengapa tidak diambil teladan daripada nilai kejiwaan seorang ibu yang tanpa syarat menumpahkan kasih sayang kepada anaknya tanpa dipinta, bahkan pengorbanan seorang bapa membanting tulang untuk menyara keluarga tanpa sebarang rungutan, apatah lagi sifat pemaaf ibu mahupun bapa tanpa jemu memaaf setiap kesilapan anak-anaknya. Malahan ternukil juga di dalam sirah kisah Al-Qamah yang diberi maaf oleh ibunya walaupun telah mengguris hatinya setelah sekian lama.. Apakah sifat ini bersesuaian untuk kita amalkan dalam kehidupan harian apatah lagi bagi yang bergelar nuqaba'??

Setiap orang, pasti miliki method yang berbeza-beza dalam melaksanakan apa jua tindakan walaupun matlamatnya adalah sama. Jalan paling mudah untuk menggantikan air kotor dengan air bersih adalah dengan membuang air kotor tersebut dan diisi dengan air yang bersih. Jika diteliti, apakah wajar seorang dai'e mengambil jalan semudah ini untuk membentuk para mad'u? Seandainya terdapat secalit kecacatan yang harus diperbaiki, apakah harus dibuang terus mad'u yang sepatutnya dipimpin ini? Haruskah kita menjadikan tunjang perjuangan dengan mendokong "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga" dan meninggalkannya dek mahu mengejar kemuliaan darjat di mata manusia?

Atau kita menggantikan air kotor itu dengan mengisi sebanyak mungkin air bersih yang akhirnya akan menggantikan warna kotoran itu. Atau kita mencampurkan bahan kimia lain seumpama 'clorox' untuk mensebatikannya bagi melunturkan kotoran tersebut? Segalanya terletak pada iman kita, apatah lagi bagi golongan yang memikul beban dakwah. Persoalannya, siapakah pula yang memikul beban dakwah itu? Jentik akal, tanyalah iman!

"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan Allah : "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta." (At-Taubah:42)

Ya Allah! Aku mahu berjuang dalam saff perjuanganMu.. Pilihlah aku sebagai pembela agamaMu yang hanya menuntut redha dan kasih sayangMu..

"Rohku, nyawaku, darahku, hanya untukmu, ISLAM"










Friday, November 12, 2010

"Ibubapa Memiliki Hak Dalam Pemilihan Pasangan Hidup Anak"



Kegusaran dan kegugupan sering bertandang menjengah sanubari kala ni.. Sering kali ia datang mencengkam diri.. Aku terus memohon petunjuk dari Al-Khaliq, agar segalanya dalam perancangan di bawah lembayung rahmatnya.. Apatah lagi saat peringatan ini bertandang, "keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa".. Hati turut terpanggil untuk terus mencari jawapan agar segalanya tersusun rapi dalam jejak langkah menuju redha Ilahi..

Sejauhmanakah ibu bapa berhak dalam merencana kehidupan anak-anak? Apakah hak mereka berkenaan soal pasangan hidup anak-anak? Bukankah anak-anak yang bakal melayari kehidupan dengan pasangan mereka? Apa kata Al-Quran dan As-Sunnah mengenainya??

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Tidak ada nikah kecuali dengan wali."[1]

Apa yang baginda maksudkan dengan hadis di atas ialah, pernikahan adalah tidak sah tanpa izin wali. Hadis berikut memperincikan maksud hadis di atas:

"Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali)."[2]

Jika dua hadis di atas merujuk kepada anak perempuan, maka dua hadis berikut merujuk kepada anak lelaki pula. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:

Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai akan tetapi ‘Umar (bin al-Khaththab,

yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan.

Maka ‘Umar membawa hal ini kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab (kepada ‘Abd Allah ibn ‘Umar): “Ceraikanlah dia.”[3]

Dalam sebuah kes yang lain, Abu Darda’ radhiallahu 'anh berkata:

Bahawa seorang lelaki datang bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri akan tetapi ibu aku menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda menjawab: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu

(seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[4]

Hadis-hadis di atas juga perlu dikupas dari dua sudut:

Sudut Pertama:

Ia adalah dari sudut keutamaan, dimana ia membuktikan betapa besar kedudukan dan peranan ibubapa terhadap kita sebagai anak sehingga ia juga menyentuh persoalan pasangan hidup. Memang, ibubapa tidak boleh memaksa kita berkahwin dengan pasangan yang tidak kita sukai. Akan tetapi pada waktu yang sama, kita juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

Timbul persoalan, bukankah yang berkahwin ialah anak? Maka kenapa pula perlu mendapatkan izin dan redha ibubapa? Persoalan ini dapat dijawab seperti berikut:

1. Ibubapa adalah orang dewasa yang telah merasai asam garam kehidupan berumahtangga. Mereka memiliki pengetahuan yang luas, sama ada melalui pengalaman sendiri atau rakan-rakan, tentang apa yang dapat menjamin kebahagiaan rumahtangga dan apa yang tidak. Berbeza dengan kita sebagai anak-anak, yang dikenali hanyalah cinta. Lazimnya keputusan untuk berkahwin tidak didirikan atas apa-apa penilaian yang matang kecuali cinta semata-mata. Maka izin dan redha ibubapa adalah penting kerana ia dapat membantu dan membimbing kita membina rumahtangga yang berjaya.

2. Perkahwinan bukan sesuatu yang melibatkan pasangan suami isteri sahaja, tetapi ia juga melibatkan keluarga daripada kedua-dua pihak. Justeru izin dan redha ibubapa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumahtangga.

3. Mendapatkan izin dan redha ibubapa termasuk dalam keumuman sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa."[5]

Maka jika kita ingin membina rumahtangga yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, binalah ia dengan cara memperoleh keredhaan ibubapa terlebih dahulu.

Sudut Kedua:

Ia adalah dari sudut hukum fiqh, maka hadis-hadis di atas perlu dibaca bersama hadis-hadis yang melarang ketaatan dalam perkara maksiat. Ini kerana: “Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).”[6] Oleh itu pemahaman dan pelaksaan hadis-hadis di atas boleh dibahagikan kepada tiga suasana:


Suasana Pertama:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita berdasarkan alasan yang dibenarkan syari‘at. Contohnya ialah calon yang bukan beragama Islam dan dia memang tidak bercadang untuk memeluk Islam. Maka dalam kes ini ibubapa layak menegah kita daripada berkahwin dengan calon tersebut dan kita wajib mematuhinya.


Suasana Kedua:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita disebabkan alasan yang menyelisihi syari‘at. Contohnya apabila ibubapa enggan menerima calon isteri pilihan kita semata-mata kerana dia berpakaian menutup aurat, atau enggan menerima calon lelaki pilihan kita semata-mata kerana dia sering pergi solat berjamaah. Maka dalam kes ini ibubapa tidak sepatutnya menegah kita daripada calon tersebut. Akan tetapi ini tidaklah bererti kita boleh “kahwin lari”. Sebaliknya hendaklah kita berbincang dengan sopan dan hikmah bersama ibubapa agar mereka akhirnya bersetuju dengan calon pilihan kita.


Suasana Ketiga:

Kita dan ibubapa saling berselisih dengan masing-masing memiliki alasan yang harus di sisi syari‘at. Dua contoh yang lazim berlaku adalah:

1. Kita ingin berkahwin tetapi masih menuntut. Ibubapa tidak membenarkannya sehinggalah ditamatkan pengajian terlebih dahulu.

2. Calon lelaki pilihan kita tidak memiliki pekerjaan yang mampu menyara hidup.

Bagi kedua-dua contoh di atas atau apa-apa yang seumpama, hendaklah kita berbincang dengan ibubapa untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Jika perbincangan tidak membuahkan hasil yang diingini, hendaklah kita mengalah kepada ibubapa. Ketahui bahawa apa yang ada di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah jauh lebih baik daripada kekasih yang ada di hati.

Masih merujuk kepada hadis-hadis di atas, terdapat dua perkara penting yang ingin saya ingatkan:

Peringatan Pertama:

Banyak berlaku kes “kahwin lari” dengan menggunakan “wali tersendiri”. Perlu diingatkan bahawa “wali” yang dimaksudkan dalam dua hadis pertama di atas adalah ayah kepada pasangan perempuan. Seorang anak perempuan tidak boleh memilih wali yang lain kecuali jika dia memiliki alasan yang dibenarkan syari‘at, seperti ayah yang sudah tiada, jelas-jelas fasiq[7] atau tidak siuman. Pun begitu, hak wali beralih kepada yang terdekat iaitu datuknya. Jika tidak ada yang layak mengganti, maka ia diwakilkan kepada seorang hakim yang adil lagi amanah.

Pernikahan tanpa keizinan wali, yakni seorang ayah kepada pasangan perempuan, adalah tidak sah dan batal kepada kedua-dua pasangan, lelaki dan perempuan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan, maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).”[8] Selain itu diingatkan bahawa tanggungjawab untuk mendapatkan izin ayah pasangan perempuan terletak di bahu pasangan lelaki kerana dia adalah pemimpin kepada rumahtangga yang bakal didirikannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoalkan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya.[9]

Pada waktu yang sama, pasangan lelaki juga wajib mendapatkan izin dan redha ibubapanya sendiri. Ini kerana lambat-laun ibubapanya tetap akan mengetahui bahawa anaknya telah “kahwin lari” dan jika mereka tidak setuju, mereka memiliki hak untuk menyuruh anak tersebut menceraikan pasangannya. Demikian juga, jika sampai kepada pengetahuan ibubapa pasangan perempuan bahawa anak mereka telah “kahwin lari”, mereka juga memiliki hak untuk menceraikan perkahwinan tersebut jika mereka tidak menyetujuinya.

Oleh itu hendaklah setiap yang berhajat untuk mendirikan rumahtangga memerhatikan perkara ini benar-benar. Juga, hendaklah setiap yang sudah terlanjur bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Pengampun kepada para hamba-Nya. Kemudian rendahkanlah diri kepada ibubapa masing-masing. Berbicaralah, carilah keredhaan mereka dan mohonlah maaf, kerana: “…ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[10]


Peringatan Kedua:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

"Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi."[11]

Adakalanya seorang anak membuat pilihan calon tersendiri berdasarkan petunjuk hadis di atas. Namun calon yang dipilih tidak dipersetujui oleh ibubapa mereka. Berdasarkan anggapan bahawa mereka berada di pihak yang benar, anak tersebut sanggup meninggikan suara terhadap ibubapanya kerana menyangka dia berada di pihak yang betul.

Hadis di atas adalah benar akan tetapi tidak boleh beramal dengan satu hadis dan meninggalkan hadis-hadis yang lain. Justeru seandainya ibubapa bersifat terbuka kepada apa sahaja kriteria yang dipilih oleh anak mereka, maka memang tepat jika anak tersebut memilih calonnya berdasarkan hadis di atas.

Akan tetapi jika ibubapa turut prihatin dengan kriteria yang dipilih oleh anak dan mereka menolak calon yang dipilih oleh anak semata-mata kerana kebaikan agamanya, maka penolakan ibubapa bukanlah alasan yang dibenarkan oleh syari‘at. Pun begitu, anak tidak boleh sewenang-wenangnya meninggikan suara di hadapan ibubapanya. Hendaklah dia berbincang kepada mereka dengan perbincangan yang penuh rendah diri, sopan dan sabar. Tidaklah bijak untuk mengejar satu kebaikan dengan meninggalkan banyak kebaikan yang lain. Kebijaksanaan terletak pada mengejar semua kebaikan mengikut keutamaannya
(Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات).

Demikian dua belas buah hadis yang dapat dikemukakan bagi menerangkan kedudukan ibubapa menurut al-Sunnah. Inti daripadanya adalah jelas, bahawa ibubapa memiliki kedudukan yang amat penting kepada kita sementara berbuat baik kepada ibubapa membuahkan hasil yang pelbagai manfaatnya di dunia dan akhirat. Maka beruntunglah anak-anak yang berusaha untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka manakala rugilah anak-anak yang enggan berbuat sedemikian.


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2085 (Kitab al-Nikah, Bab berkenaan wali).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2083 (Kitab al-Nikah, Bab berkenaan wali).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 5138 (Kitab al-Adab, Bab berkenaan berbuat baik kepada ibubapa).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1900 (Kitab al-Birr wa al-Sholah, Bab berkenaan keutamaan mendapat redha ibubapa).

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 7145 (Kitab al-Ahkam, Bab mendengar dan taat kepada pemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

[7] Maksudnya benar-benar menenggelamkan dirinya dalam perbuatan yang dilarang seperti selalu mabuk, selalu berjudi dan mengamuk apabila marah, suka memukul ahli keluarga dan sebagainya. Jika ayahnya berbuat salah sekadar menghisap rokok, solat berjamaah sekali-sekala, memakai seluar pendek dan sebagainya, dia tidak termasuk dalam kategori fasiq yang dimaksudkan di atas.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2083 (Kitab al-Nikah, Bab berkenaan wali).

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh tentang hukum wali dalam perkahwinan dan ia dapat diringkaskan kepada tiga pendapat:

1. Wali adalah tidak wajib. Ini adalah pendapat yang lemah berdasarkan hadis yang bermaksud: “Tidak ada nikah kecuali dengan wali.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2085 (Kitab al-Nikah, Bab berkenaan wali)]

2. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah sesiapa sahaja yang layak. Ini kerana perkataan “Wali” dalam hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali”, bersifat umum sehingga siapa sahaja yang layak, maka dia termasuk dalam keumuman tersebut.

3. Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah ayah. Keumuman hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali” dikhususkan oleh hadis berikutnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal.” Sabda baginda “…tanpa izin walinya…” menunjukkan wujudnya faktor keizinan dan tiada siapa yang memiliki peranan dalam faktor keizinan melainkan seorang ayah.

Pendapat yang terakhir adalah yang terkuat dan paling mendekati kebenaran. Hal ini bukan sahaja disebabkan gandingan antara kedua-dua hadis berkenaan wali, akan tetapi seluruh dalil al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan hak ibubapa terhadap anak-anak sepertimana yang telah dikemukakan dalam buku ini sejak awal. Oleh kerana itulah saya menyusun bab berkenaan hak ibubapa dalam pemilihan calon perkahwinan anak sebagai bab yang terakhir supaya para pembaca sekalian dapat menilainya berdasarkan keseluruhan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.

Sebahagian pembaca mungkin merasa berat untuk menerima pendapat ini kerana telah sekian lama terselesa kepada pendapat yang menyatakan tidak boleh memaksa anak menerima calon perkahwinan pilihan ibubapa. Malah ada segelintir yang berlebih-lebihan dalam hal ini dalam rangka membela hak wanita di hadapan aliran feminism masa kini. Mereka menganggap anak, khasnya anak perempuan, memiliki hak mutlak dalam menentukan calon perkahwinannya.

Yang benar adalah, ibubapa tidak boleh memaksa anak berkahwin dengan pasangan yang tidak disukainya. Pada waktu yang sama anak juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1900 (Kitab al-Birr wa al-Sholah, Bab berkenaan keutamaan mendapat redha ibubapa).

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5090 (Kitab al-Nikah, Bab yang paling sesuai adalah pada agamanya).

Sunday, October 31, 2010

Aku juga mahu memiliki "Qalbun Saleem"...

Alhamdulillah.. Setelah hampir 11 hari mencari 'identiti kebenaran' yang penuh dengan bermacam-macam mehnah dek kepelbagaian citarasa tiap individu sekeliling, Allah mendengar rintihan ini untuk memilih turut serta bersama seorang sahabat dan beberapa adik-adik usrahnya pada 5 petang, 24 Oktober lepas untuk beriadah di Mengkuang Dam yang sedikit sebanyak mengubat hati ini yang terlalu KONTANG pada kerinduan bertarbiyyah.. Terduga, tersentak, terkilan, terasa, terpukul, terhina, termarah.. Semuanya kembali sebati menjadi sebuah kedamaian dalam milikan hati rasa BERTUHAN, Alhamdulillah.. Suka ku singkapkan, berbicaralah dengan LISAN, usah dimanisi bicara itu dengan LIDAH, kerana natijah bicara yang difokuskan adalah menyentuh seketul daging bernama HATI..

Hampir 2 jam menyapa bumi Mengkuang Dam, terlalu banyak muhasabah hati menyapa iman.. Paling terkesan kala sahabatku yang juga selaku kakakku, 'nenekku', sayangku dan semuanya yang baik-baik meluahkan perkongsian nurani yang melunturkan resah jiwaku setelah beberapa ketika hati ini ditemani duka lara.. Perkongsian berkenaan "Qalbun Saleem".. Terima Kasih Ya Rabbi, untuk aturan pertemuan itu..

Aku juga seperti kebanyakan orang, yang pada hakikatnya semua manusia sedang berjuang untuk bertemu dengan Allah.

"Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Rabbmu, maka kamu pasti akan menemui-Nya." (QS. Al Insyiqaq: 6)


Benarlah! Semua dari kita akan menemui Allah dengan membawa bekal yang telah kita usahakan di dunia. Meskipun pada akhirnya ada yang terkeliru membawa bekal. Lantas, bekal yang dibawanya bertukar menjadi beban yang mengsengsarakan dalam perjalanan hingga membuahkan penderitaan di akhir perjalanan.

Allah berfirman, bahawa bekal yang bermanfaat dan akan menyelamatkan manusia ketika bertemu dengan Allah adalah qalbun salim, hati yang selamat(sejahtera). Tanpanya, seluruh hal yang diusahakan manusia menjadi tidak berguna. Termasuk harta, pangkat dan anak-anak.

Memang benar, tiada yang mampu menyanggah bahawa unsur paling penting dalam jasad manusia adalah hati. Posisi hati bagi anggota badan yang lain laksana raja bagi rakyatnya, panglima bagi tentaranya, atau mirip pemegang remote control bagi barang elektronik. Segala gerak-gerik dan ucapan dikendalikan oleh hati.

Masakan tidak, kerana hatilah yang mampu mengenali Allah, hati pula yang memiliki iradah, kemahuan untuk mentaati Allah, sedangkan anggota badan hanyalah sebagai pelengkap dan alat yang membantu keinginan hati. Jika hati baik, jasad akan mengikutinya, dan jika hati rusak, anggota yang lain akan mentaatinya pula. Jika hati selamat, semua akan selamat, jika hati binasa, yang lain turut sengsara.

Lalu, seperti apakah gambaran hati yang selamat, yang mewakili karakter yang paling baik itu? Persepsi kebanyakan orang, orang yang memiliki hati yang baik itu tidak memiliki musuh, tidak memiliki penentangan, mampu bergaul dengan siapapun, bertoleransi dengan apapun, berkawan dengan kelompok manapun.

Namun, sebahagian yang lain pula menyelisihi syariat yang zahir, lalu berdalih "yang penting hatinya baik." Seperti pernyataan seorang artis usai pulang dari ibadat umrah, dia kembali membuka auratnya, melepas kerudungnya dengan alasan yang penting hatinya berhijab. Ini adalah jawaban yang hanya layak diutarakan oleh orang yang hatinya terhijabi (tertutup) dari kebenaran. Mengapa demikian? Kerana bukti kebaikan hatinya adalah tunduk dengan syariat yang dibawa oleh Muhammad yang mengharuskan wanita untuk berhijab dari laki-laki yang bukan mahramnya.

Hati yang selamat dan hati yang baik akan tercermin dalam seluruh aktiviti batin dan lahiriah pemiliknya. Hati yang selamat adalah hati yang selamat dari segala syahwat yang menyelisihi perintah Allah dan larangan-Nya. Hati yang selamat dari syubhat yang menyelisihi khabar-Nya.

Termenung seketika mengingatkan satu kisah sahabat Rasulullah SAW...

"Sebentar lagi seorang penghuni syurga akan masuk," sabda Rasulullah SAW kepada para sahabat.

Mendengar perkhabaran menarik tersebut, semua mata tertumpu ke arah pintu masjid. Di benak para sahabat barangkali, terbayang susuk seseorang yang luar biasa.

Tiba-tiba masuklah seorang pemuda yang mukanya masih basah dengan wudhu'. Penampilannya biasa sahaja dan dia juga bukanlah orang yang terkenal. Abu Umamah Ibnu Jarrah, itulah orangnya. Sangkaan dan bayangan oleh para sahabat sebentar tadi akan pemilik jasad yang dimaksud Rasulullah SAW tadi yang mempunyai susuk luar biasa tidak menjadi kenyataan.

Keesokan harinya, peristiwa serupa kembali berulang.. Demikian pula hari ketiga.

Para sahabat sangat pelik dan kehairanan, "Apakah gerangan amal yang dimiliki orang ini sehinggakan Rasul menyebutnya sebagai calon penghuni syurga?"

Salah seorang sahabat yang sangat kehairanan itu ialah Abdullah bin Amr bin 'Ash. Dia pun meminta izin kepada Abu Umamah untuk menginap tiga hari di rumahnya dengan tujuan mencari asbab Rasulullah SAW menjamin Abu Umamah sebagai salah seorang calon penghuni syurga.

Tiga hari tiga malam Abdullah memerhati, mencermati, bahkan mengintip tuan rumah tersebut. Namun tidak ada satu pun yang istimewa di pandangannya. Hari-hari yang dia lewati tidak jauh beza dengan sahabat-sahabat yang lain. Ibadahnya juga sekadar biasa-biasa sahaja.

Pasti ada sesuatu yang disembunyikan. "Aku harus berterus terang kepadanya," ujar Abdullah sendirian.

Dia pun bertanya, "Amal apakah yang engkau kerjakan sehingga Rasulullah memanggilmu calon penghuni syurga?"

Jawapan Abu Umamah sungguh mengecewakan Abdullah, "Apa yang engkau lihat itulah."

Ketika Abdullah hendak pergi, tiba-tiba tuan rumah berkata, "Wahai saudaraku, sesungguhnya aku tidak pernah iri dan dengki terhadap nikmat yang Allah berikan kepada orang lain. Sebelum tidur, aku pun selalu bersihkan hati dari ujub, takabur, kedengkian, dan rasa dendam."

Terpana aku seketika pada kisah ini. Terlalu banyak mutiara indah yang mampu dikutip daripada kisah ini. Yang pasti, hanya orang yang bersih hati iaitu si pemilik QALBUN SALEEM sahaja yang akan memasuki syurga tertinggi, juga bertemu dengan Al-Khaliq, Allah Azza wa Jalla.

Difirmankan, "Dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan, (iaitu) pada hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih," (Al-Quran, Surah Asy Syu'araa [26]: 87-89).

Kebersihan hati adalah kunci untuk membuka pintu syurga. Walau sedikit mana pun amal, tetap akan mampu memasukkan seseorang itu ke dalam syurga, asalkan dia memiliki hati yang bersih. Sebaliknya, sebanyak manapun amal, tidak bererti sama sekali apabila kita memiliki hati yang penuh penyakit dan virus iman, nauzubillah.

Ingin juga aku mencontohi pekerti Abu Umamah.. Walaupun dia bukanlah sahabat sekaliber Abu Bakar As-Shiddiq, Umar Al-Khathab, Ustman bin Affan atau pun Ali bin Abi Thalib, malahan ibadahnya juga tidak sepopular Abu Darda, Abdurrahman bin Auf, Salman Al Farisi, juga beberapa sahabat lainnya. Namun, yang pasti darjatnya pada mata Allah dan RasulNya cukup tinggi, hingga Rasulullah SAW menyatakan bahawa dia sebagai calon penghuni syurga.. SUBHANALLAH!

Mengapa?

Sebab hatinya bersih daripada penyakit dan lapang daripada kebencian dan dendam. Sehingga semua amal kebaikannnya tetap utuh dan bernilai di hadapan Allah swt.

Hm..Benarlah, biarpun kita sibuk memperbanyak amal kebaikan, utamanya adalah kita juga harus sibuk menjaga hati daripada penyakit-penyakit yang mampu membenihkan virus-virus bahaya. Cukuplah peringatan buat hati ini, segalanya adalah percuma sahaja andai kita menghiasi diri dengan berjuta-juta amalan wajib mahupun sunat, sedang hati tidak pernah kita bersihkan.

Sebaliknya, walau amalan kita hanya di tokok biasa sahaja, namun andai dibingkaikannya dengan kebersihan hati, maka nilainya akan jauh lebih tinggi di sisi Allah. Lebih baik makan bubur kacang di mangkuk yang bersih, daripada makan manisan istimewa yang ditaruh di mangkuk penuh kotoran berdaki!

Sabda Rasulullah SAW, ada tiga penyakit yang akan menghanguskan amal kita:-

Pertama, takabur atau sombong. Menurut Imam Al Ghazali dalam Ihya 'Ulumuddin, takabur akan menjadi batas pemisah antara seseorang dengan kemuliaan akhlak. Hal ini demikian kerana orang takabur akan selalu mendustakan kebenaran, menganggap rendah orang lain dan meninggikan dirinya.

Jangankan banyak, sedikit saja di hati kita ada sikap takabur, maka syurga akan mulai menjauh, amal-amal pastinya tidak bererti. Bahkan telah disabdakan, "Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat sikap takabur walaupun sebesar debu." (HR Muslim).

Kedua, hasad atau iri dengki. Ciri khas seorang pendengki adalah adanya ketidakrelaan ketika orang lain mendapat nikmat dan sangat berharap nikmat tersebut segera lenyap darinya. Bahasa mudah, susah melihat orang lain senang, dan senang melihat orang lain susah.

Sifat kedengkian adalah sangat hebat untuk menghancurkan kebaikan. Rasulullah saw sendiri menegaskan, "Dengki itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar." (HR Abu Dawud dan Ibnu Majah).

Ketiga, riya' atau beramal kerana mengharap pujian orang lain. Riya' adalah tingkatan terendah dari amal. Rasul menyebutnya syirik kecil yang juga efektif menghapuskan kebaikan. Allah swt tidak akan menerima suatu amal yang di dalamnya terdapat seberat debu saja berupa riya'.

Sebuah hadis qudsi mengungkapkan pula bagaimana murkanya Allah kepada orang yang riya' dengan amalnya. Pada hari kiamat Allah berfirman, "Ketika semua manusia melihat catatan amal-amalnya, pergilah kamu semua kepada apa yang kamu jadikan harapan (riya) di dunia. Lihatlah, apakah kamu semua memperoleh balasan dari mereka?" (HR Ahmad dan Baihaqi).

Di dalam Al Quran, diungkapkan pula bahaya riya', "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berbuat riya'," (Al Quran, Surah Al Maa'un [107]: 4-6).
Semoga Allah memberi kekuatan kepada jiwa ini dan para saudara-saudara ku sekalian untuk menjaga hati dan amalan yang diperbuat daripada kebinasaan dan segala macam penyakit hati yang memudaratkan..

Aku turut berkira-kira.. Bagaimana aliran tarbiyyah yang ditempuhi selama ini.. Perkiraan ukhuwah yang turut mencengkam virus-virus ukhuwah.. Bagaimana harus disentuh, dibawa, disingkap, dijernihkan segala kekeruhan pemilik-pemilik hati sekitarku, termasuk hati sendiri yang terkadang terjentik seketika dek panahan keresahan dalam berujian.. Qalbun Saleem menjadi impian, gapaian menujunya penuh berduri..


Rabbi... Di mana LOKUS PERTEMUAN itu...???


Saturday, October 23, 2010

Tarbiyyahku TIDAK akan berakhir di sini..




"Aku terpaksa memilih yang lain, biar BUKAN itu pilihan ku..
Pilihan ini bukan kerana aku sukakannya, jauh sekali aku redha dengannya, tapi, demi TARBIYYAH ku.. Tuhan, berikan kekuatan setelah segalanya.."


Berat sungguh untuk keperitan semua ini.. Bukan meratapi pada segala ujian dan kesakitan ini kerana itu bukanlah sesuatu yang cukup membebankanku kerana tidak pernah sesekali aku kesali akan segala ujian ini, namun yang menjadi keperitan yang tidak mampu kuungkapkan adalah apabila aku terpaksa meletakkan kejahilan dalam diriku, kebatilan dalam jiwaku, kemungkaran dalam tindakanku, kemaksiatan dalam tuturanku.. Ya Rabbi.. Aku mohon Ya Allah, andai ini bukan medanku, gantikanlah dengan yang lain Ya Allah! Biarlah aku syahid dalam membela agamaMU, Ya Rabb.. Biarlah aku hilang segalanya, tapi janganlah Kau biarkan aku terbiar tanpa TARBIYYAH, Rabbi..

Bicaraku buatMu, Ya Allah.. Aku tidak pernah resah jika lisanku batil di mata manusia, jujurku hina di benak manusia, tapi aku akan resah jika segala kebatilan milikku di mataMU, Rabbi.. Ya Allah, andainya dengan aku mengundur diri di sini akan menyuburkan tarbiyyah di sini, aku merayu padaMU, Ya Allah, gantikan dengan pentarbiyyahan lain buat ku untuk aku terus dalam perjuangan ini.. Kuatkan aku Ya Allah.. Tabahkan aku Ya Rahman.. Pimpinlah kami semua dan bersihkan seluruh tompok-tompok kemungkaran dalam hati-hati kami.. Jangan pernah KAU alihkan 'pandangan'MU dari kami walau seinci 'palingan' ke arah lain.. Segalanya aku serahkan padaMU, pemilik segala kebenaran..Biar kebatilan itu terindah di kala ini kerana pengadilanMU yang pastinya tidak akan pernah terlepas daripada perkiraan KEBENARAN.. Jauhkan hati ini daripada kebencian, dari sekecil-kecil kebencian, hinggalah sebesar-sebesar kebencian, hindarilah jiwa ini Ya Allah kerana itulah yang akan menghijabkan kasih sayangMU buatku.. Dengan REDHAMU, jua REDHA ibu bapaku, aku yakin inilah JALAN TARBIYYAH buatku..


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan Hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal."(Al-Anfal: 2)

Ya Rahman, andai selama ini tindakan dan amalku dalam lingkungan kemungkaran dan kebatilan, aku bermohon padaMU, KAU tundukilah keegoaan ini untuk kembali kepada kebenaran.. Andainya aku di aliran yang baik, aku merayu padaMU janganlah dicampak rasa RIAK dan BANGGA hingga segalanya bertukar kepada kebatilan.. KAU pimpinlah aku untuk jalan redhaMU kerana tiada yang aku nantikan melainkan pertemuan bersamaMU di 'sana'..

Aku di sini kerana aku mahu REDHAMU..
TEGUHKAN IMAN INI, YA RABBI :)

Sunday, September 26, 2010

BASAHKAN HATI : JOM BEDAH AL-QURAN

7 Rahsia Menangkis Virus Ukhuwwah Menurut Kalam Suci Allah

Dalam surat Al-Hujurat, Allah SWT memaparkan 7 rahsia bagi kita untuk menangkis virus-virus ukhuwwah yang boleh menghancurkan barisan ukhuwwah yang telah dibina.

1. Tabayyun
Tabayyun bererti mencari kejelasan sesuatu maklumat dan mencari bukti kebenaran
maklumat yang diterima tidak kira dari sumber mana pun. Ini kerana Allah SWT telah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu
telah lakukan.” Al-Hujurat: 6

2. ‘Adamus Sukhriyyah
Ertinya tidak memperolok-olokkan orang atau kelompok lain. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum
perempuan mencemuh dan merendahrendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;” Al-Hujurat: 11

Pada ketika ini terdapat banyak kelompok atau organisasi dakwah. Harus kita sedari bahawa di antara kelompok-kelompok dakwah tersebut terdapat perbezaan yang bersifat prinsip mahupun yang bukan prinsip. Perbezaan dalam menentukan al-hadaful a’la (sasaran tertinggi) termasuk dalam masalah prinsip. Keadaan ini mengundang suasana tanafus (persaingan) yang kadang-kadang bentuknya tidak sihat. Persaingan ini menjadi semakin tidak sihat dengan munculnya individu-individu yang senang melontarkan ungkapan-ungkapan bernada cemuhan. Berkumpulnya kelompok-kelompok dakwah dan harakah yang ada di bumi sekarang ini adalah satu cita-cita indah. Sebagaimana yang ditulis oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, kesatuan wala’ (kesetiaan) dan tumbuhnya suasana ta’awun (bantumembantu) dalam menghadapi
konspirasi para thaghut adalah sesuatu yang tidak dapat ditawar lagi. Dan jika hal ini belum dapat wujud kerana terdapat beberapa hal yang belum boleh kita lakukan,
maka tidakkah kita mampu untuk meninggalkan tradisi sukhriyyah dan perasaan “ana khairun minhu” (saya lebih baik daripadanya) seperti yang dinyatakan iblis?

3. ‘Adamul Lamz
Maksudnya ialah tidak mencela orang lain. Ini ditegaskan dengan firman-Nya:
“Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain;”
( Al-Hujurat: 11)
Mencela sesama muslim, oleh ayat ini dianggap sebagai mencela diri sendiri, sebab pada hakikatnya kaum muslimin itu dianggap sebagai satu unit. Apatah lagi jika celaan itu adalah berkisar persoalan status dan ukuran kebendaan. Allah sendiri menyuruh Rasul dan orang-orang yang mengikuti Rasul untuk bersabar di atas segala kekurangan orang-orang mukmin. Firman Allah SWT:
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata;dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” (Al-Kahfi: 28)

4. Tarkut Tanabuz
Iaitu meninggalkan panggilan dengan sebutan-sebutan yang tidak baik terhadap sesama muslim. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
“Dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.” (Al-Hujurat: 11)

Tanabuz dalam bentuk yang paling buruk adalah berupa mengkafirkan orang yang beriman. Pada hakikatnya masih terdapat individu atau kelompok yang begitu mudah
menyebut perkataan kafir kepada individu yang tidak tertarik untuk masuk ke dalam kelompok tersebut.

5. Ijtinabu Katsirin minadzdzan
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” (Al-Hujurat: 12)

Pada ketika ini terdapat banyak kelompok atau organisasi dakwah. Keadaan ini mengundang persaingan yang semakin buruk dengan kehadiran kata cemuhan.
Pada dasarnya seorang muslim harus berbaik sangka sesama sendiri, kecuali jika ada bukti yang jelas terang tentang kesalahan tersebut. Sebaliknya, kepada orang kafir dan musuh Islam, kaum muslimin harus menaruh curiga apabila mereka bermanis budi. Allah SWT sendiri menegaskan:
“Sesungguhnya orang-orang kafir yang BK Quran&Hadis selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah.” (Al-Anfal: 36)

6. Adamut Tajassus
‘Adamut Tajassus bererti tidak mencari kesalahan dan aib orang lain. Perbuatan ini amat dicela oleh Islam. Setiap cara dakwah ada kaedah masing-masing yang berusaha sebaik mungkin untuk mencontohi cara Rasulullah SAW melakukan dakwah. Allah SWT
amat suka apabila kita berusaha menutup aib saudara kita sendiri.
Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”
(Al-Hujurat: 12)




7. Ijtinabul Ghibah
Allah SWT menegaskan:
“Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? ( Jika demikian keadaan
mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” (Al-Hujurat: 12)

Ghibah sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW bererti menceritakan keburukan dan kejelekan orang lain. Ketika seseorang menceritakan kejelekan
orang lain, terdapat dua keadaan yang mungkin terjadi. Pertama, jika apa yang diceritakannya itu benar-benar terjadi maka itulah ghibah. Kedua, jika apa yang diceritakannya itu tidak terjadi maka ini bererti dia telah melakukan tuduhan palsu (FITNAH) terhadap orang lain. Begitu besarnya dosa ghibah sehingga Allah SWT menyamakan orang yang melakukannya dengan orang yang memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati.

Monday, September 20, 2010

~ Indahnya Berukhuwah ~

Kak As..

“Allah Ta’ala berfirman pada Hari Kiamat: “Di mana orang-orang yang menjalin rasa cinta kerana aku? Hari ini pada saat tidak ada lagi naungan apa pun kecuali naungan-Ku. Ada sebanyak tujuh kelompok dari mereka itu yang mendapat perlindungan-Nya sahaja.” Sebagaimana diriwayatkan oleh Asy-Syaikhani bahawa di antara yang tujuh kelompok itu adalah dua orang yang menjalin cinta kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah juga.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Hakim)


Ingin sekali aku turut tergolong dalam kelompok yang mendapat perlindunganNYA itu.. Tersenyum aku pada bait-bait kata, "kerana CINTA, kenal Pencipta, bahagia keluarga.. Oh indahnya CINTA.. Kerana CINTA, kenal saudara.."

Kadang-kadang, aturan Allah itu tidak pernah terduga oleh perancangan manusia.. Sesukar mana pun penterjemahan itu diperlukan untuk merungkai sebuah kepastian, adalah lebih tenang jika segalanya disingkap dengan keredhaan perhambaan seorang khalifah..

Ingatan buat diri, sekasih mana kita pada seseorang itu, perlu adanya didasari perbatasan seorang hamba dengan seorang hamba yang lain, agar tujuan berukhuwah itu tidak terpesong hingga membawa kelalaian.. Jaraknya hanya selangkah, namun sekiranya ianya tergelincir pada jurang kebatilan, semestinya hidup bersyariat itu mulai menjangkau hingga berpuluh-puluh ribu langkauan jaraknya dari rahmat Allah.

Oleh yang demikian, perlunya kita sentiasa menjaga hati, supaya tidak mudah terjerumus kepada sesuatu yang tidak pada haqnya.. Mohon juga berkasih sayang dalam rahmatNYA dalam perbatasan waktu bertarbiyyah, supaya amal tidak terhijab dek panahan INTIMA' SYAKSHI..

HATI-HATI MENJAGA HATI KERANA IA SUKAR DIMENGERTI..