.... Bismillahirrohmanirrohim ....

" Katakanlah, jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, keluarga kamu, harta yang kamu usahakan dan perdagangan yang kamu khuatirkan serta tempat tinggal yang kamu suka itu lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan jihad di jalanNya, maka tunggulah sampai datang keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kamu yang fasik." (At-Taubah:24)

Saturday, September 11, 2010

Cinta Syawal 1431H...

Termenung sendirian tika duduk bersimpuh di tikar sejadah. Minda ini sarat dengan 1001 soalan yang belum terungkai. Dada sebak mengenang dosa-dosa silam. Hati rapuh dengan jeritan batin mahukan ketenangan. Terkesima. Seketika jiwa terdetik, jika Pemilik cinta diketepikan, peminjam cinta dijulang-julang, bagaimana kita mampu mengecap sinar bahagia? Dalam memburu kedamaian di senja Ramadhan, keresahan diri kala diuji dengan musibah diratapi dengan keluh kesah, mana mungkin tarbiyyah insani tersingkap pada tabir kedamaian?

Dalam pencarian memburu cinta, di mana aku meletakkan Sang Pemilik cinta agung ini? Selama ini, manusia atau Allah yang lebih aku utamakan? Walhal, hati kita milik Allah, mengapa tidak digapai dan diambil cinta dan bahagia dari sumbernya yang asal? Barangkali aku terlupa pada sepotong hadith;-

"Apabila Allah mencintai seorang hamba, maka Allah berseru kepada Jibrail: 'Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka cintailah dia'. Jibrail pun mencintainya. Kemudian Jibrail berseru kepada penghuni langit: 'Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka kalian cintailah dia'. Penghuni langit pun mencintainya. Kemudian ditanamkanlah cinta penguni bumi kepadanya". (Riwayat Bukhari)

Sedetik berlalu, tiba-tiba doa Nabi Daud a.s. tentang cinta yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi menjengah minda.

Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMU cintaMU dan cinta orang-orang yang mencintaiMU dan aku memohon kepadaMU perbuatan yang dapat menghantarkanku kepada cintaMU. Ya Allah! Jadikanlah cintaMU lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.

Sebak dada ini. Lemahnya iman ini saat diuji Tuhan. Lekanya jiwa ini saat menikmati ujian kesenangan. Alpanya diri ini dalam mengucap syukur saat kegembiraan singgah sejenak. Malunya jasad ini kala memohon sesuatu pada Rabb apabila berkeinginan sesuatu, tetapi lalai saat kenikmatan pinjaman Allah dikecapi. Saat diuji, pada siapakah segalanya disandarkan? Ya Rabbi! Aku mohon perlindunganMU dari syaitan Wathin yang terkutuk, anak-anaknya, sekutunya dan tenteranya yang hanya tugasnya menghasut orang yang sedang dilanda ujian.

Ujian dan musibah makin mengganas di saat kegirangan menyambut Ramadhan. Amat pantas waktu berlalu, hinggakan segala badai riang menari-nari mengikut rentak keinsafan seorang hamba. Namun, hati ini semakin sendu syahdu kerana senja Ramadhan sudah bersedia melabuhkan tirainya. Ya Allah! Jangan Kau jadikan Ramadhan ini adalah yang terakhir buat aku, datangkanlah ia lagi dan lagi kerana aku belum puas berulit dengan ganjaran pahala dalam limpah kebaikannya. Lambaian Syawal sudah mulai membuka lembaran purnama. Tanda kemenangan penuh bererti dalam perjuangan umat Islam mendepani cabaran menahan dan mengepung nafsu agar terus terkubur. Betapa Allah Maha Pemurah dan Penyayang apabila menghadiahkan Syawal sebagai tanda kemenangan ummat Islam dalam menangani kepungan hawa nafsu selama sebulan! Namun, usah terleka dengan kemenangan itu kerana untuk mengukur sejauhmana kejayaan kita dalam membentuk diri dan amal mulia, maka nilaiannya adalah setelah berakhirnya Ramadhan.

Bagaimana untuk kita menyuburkan kecintaan kepada Allah di samping memurnikan juga kecintaan sesama insani khususnya dalam menyambut lebaran ini? Usai itu juga, teringat pada sepotong kalam suci Tuhan, "Pada diri Rasulullah saw itu ada suri teladan untuk dicontohi". Maka, mengapa tidak kita semarakkan sunnah Rasulullah saw iaitu saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain? Amalan ziarah-menziarahi yang mampu menghubungkan silaturrahim dan mempertautkan ukhuwah sesama saudara seaqidah. Manis sungguh rentak syiar Islam berlagu. Bukan hanya mampu menghubungkan kecintaan kita kepada Allah, malahan turut sama membenihkan cinta sesama makhluk. Benarlah jua sunnah Rasulullah saw yang menggalakkan kita menyebut "Taqobbalallahu Minna Waminkum" (Semoga Allah menerima daripada kami dan daripadamu) oleh Ibnu Hajar yang memetik dari Jubair bin Nufair (kitab Fathl Bari).

Indahnya pentarbiyahan Ramadhan kali ini. Ujian dan musibah silih berganti, melengkapi tirai keinsafan, merebut redha dan cinta Ilahi.

Lebaran tahun ini paling bermakna kerana baju baru ku adalah tangisan, sepatu baru ku pula adalah keredhaan, alatan solek baruku adalah ketenangan, hadiah raya ku adalah keinsafan bermujahadah=)) Manisnya ujian, Rabb.. Merindui mujaheed2 di Palestin, pasti lebaran mereka disambut dgn meredah lembaran kezaliman ZIONIS mempertahankan tanah suci Al-Quds.. Peluru2 sesat menggantikan mercun2.. Tabah & menangkan mereka, Ya Rahman ^_^

Ya Allah.. Ya Rahman.. Ya Rahim.. Ya Wadud.. Izinkan aku mengenalMU.. Pemilik cinta hakiki.. Dengan belas ihsanMU Ya Rabb! Kuatkan hatiku dengan kudratMU untuk aku memulakan arah cinta yang abadi dan murni.. Urusan utamaku adalah denganMU, Ya Allah, dalam membawa risalah kebenaran agama suciMU..


Eid Mubarak 1431 H!!

No comments:

Post a Comment